
SIAPA KAMI?

"Paradigma Kelestarian diangkat sebagai domain laman ini sejajar dengan tuntutan alam sekitar sejagat - nilai pembelajaran sepanjang hayat dan penghayatan alam."
Green Growth Asia Foundation merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan bertaraf Yayasan yang bergiat aktif dalam hal ehwal kelestarian di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2018, pelbagai bentuk kejayaan telah berjaya dirangkul dalam memartabatkan usaha serta perubahan tingkah laku sejagat mengenai alam sekitar. Terdapat enam fokus utama di bawah teras pendidikan iaitu Pendidikan untuk Pembangunan Mampan, Biokepelbagaian dan Konservasi, Keusahawanan, Revolusi Perindustrian 4.0, Perubahan Iklim serta Belia dan Media. Kesemua intervensi pendidikan kami berpaksikan kepada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. Kami yakin melalui usaha serta dorongan pihak berkepentingan, Malaysia bakal menjadi sebuah negara maju, berdaya saing serta mampan buat generasi kini dan akan datang.
ECO-SCHOOLS MALAYSIA



Program Eco-Schools yang dibangunkan oleh Yayasan Pendidikan Alam Sekitar berpangkalan di Denmark, merupakan sebuah program Pendidikan untuk Alam Sekitar berasaskan projek terbesar di dunia. Melibatkan keanggotaan lebih 70 buah negara, 19 juta murid dan 1.4 juta guru, program ini menawarkan sebuah peluang unik bagi murid tempatan untuk menjalin kerjasama antarabangsa, melahirkan lebih ramai masyarakat global. Di Malaysia, program ini telah diperkenalkan oleh WWF-Malaysia pada tahun 2011 selaku pengendali kebangsaan dan pada tahun 2016, Green Growth Asia Foundation telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dan Kedah untuk mengendalikan Program Eco-Schools di negeri mereka. Kini, program Eco-schools di bawah kendalian kami terus berkembang dari tahun ke tahun, Melaka, Kedah, Perak, Kelantan dan Perlis berada di landasan yang tepat dalam perkembangan revolusi pendidikan untuk pembangunan mampan. Di samping itu, usaha peralihan tanggungjawab sebagai Pengendali Kebangsaan antara WWF-Malaysia dan Green Growth Asia Foundation menjelang tahun 2023 giat dilaksanakan.